Monday, April 28, 2008

Kerismuddin says: It's all about UMNO, Race & Religion


Utusan Malaysia, April 28, 2008

Minta maaf untuk sedarkan Melayu
Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY KUALA LUMPUR 27 April

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan beliau memohon maaf secara terbuka berhubung isu keris Panca Warisan adalah bertujuan menyedarkan orang Melayu yang dilihat sudah terlupa untuk berjuang demi bangsa mereka.

Katanya, apa yang menjadi keutamaan baginya adalah kepentingan parti, bangsa dan agama, selain menyedarkan orang Melayu untuk bersatu dan bangkit semula dalam mempertahankan hak sendiri.

''Ia tindakan saya sendiri. Saya mahu melindungi institusi Pemuda dan UMNO. Saya hendak sedarkan orang Melayu. Kita perlu bangkit dan bersatu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, beliau secara terbuka memohon maaf kepada rakyat negara ini sama ada Melayu atau bukan Melayu jika isu keris Panca Warisan telah menyinggung perasaan mereka.

Hishammuddin berkata, beliau bertanggungjawab jika tindakan menghunus keris Panca Warisan sewaktu Persidangan Perwakilan Tahunan pergerakan itu pada 2005 menjadi faktor yang menjejaskan prestasi BN pada pilihan raya umum lalu.

Beliau seterusnya berkata, keputusan meminta maaf itu sebenarnya bukan mudah untuk diambil, tetapi tetap dilakukannya setelah memikirkan bagi menyelamatkan kedudukan Pemuda serta UMNO yang seharusnya menjadi identiti orang Melayu sendiri.

Tambahnya, keris tetap menjadi warisan yang kekal sebagai identiti bangsa yang tidak harus dipersoalkan. ''Sebelum ini, tiada siapa pun yang mempertahankan keris kita. Ia jelas bukan satu keputusan yang mudah. ''Parti dan bangsa lebih penting. Saya mengotakan kata-kata. Saya tahu lama kelamaan orang akan faham," jelasnya.

No comments: